

92 INDIVIDU DITAHAN DALAM 'OPS PAU' : MENYERTAI ACARA DALAM HUTAN SIMPAN KEKAL TANPA KEBENARAN
GOMBAK, 29 Mac 2026 (Ahad), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mengadakan operasi penguatkuasaan hutan yang diketuai oleh Encik Mohd Hadre bin Mohamad, Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah dan 22 orang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah di Bukit Pau (Kemensah), HS Ulu Gombak Tambahan.
Operasi yang bermula jam 6.00 pagi hingga 3.00 petang tersebut telah menahan 92 individu dikesan telah menjalankan aktiviti rekreasi pendakian tanpa kebenaran atau Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal (Borang 6) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).
Individu tersebut dipercayai telah menyertai acara anjuran NGO dalam Hutan Simpan Kekal yang tidak mendapat kebenaran oleh JPNS. Penganjur dan kesemua individu tersebut telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Taman Melawati bagi tujuan pelaporan untuk tindakan siasatan lanjut oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menasihati penggemar aktiviti rekreasi dan penganjur acara agar peka tentang keperluan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal terlebih dahulu sebelum menjalankan acara.
Tindakan tegas boleh diambil kerana perbuatan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 47, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
Jabatan Perhutanan Negeri Selangor


